Thursday, January 5, 2017

Melayu Baru

Assalam semua,

Diluar jendela kantor ku
Sesungguhnya, dipagi Jummu'ah, penghulu segala hari ini, saya tiba-tiba teruja untuk memberitahu mengenai satu berita baik untuk orang Melayu.

Lebih selalu dari tidak, apabila bercerita tentang orang Melayu, ramai sudah ada imej negatif. Imej ini telah dibentuk dari dekad ke dekad, di "sokong" oleh bukti-bukti yang "nyata" betapa orang Melayu adalah bangsa yang mengharapkan subsidi, mengharapkan bantuan kerajaan, mengharapkan hak-hak keistimewaan taraf bumiputra.

Kerajaan Malaysia yang dipegang oleh orang Melayu juga tidak membantu kerana mereka mengharapkan undian dari orang Melayu. Maka mereka terus memberi subsidi (sehingga beberapa tahun lalu bila Kerajaan tidak lagi mampu untuk memberi subsidi), terus memberi bantuan kepada rakyat, dan cuba juga menegakkan hak-hak keisimewaan bumiputra yang kini sebenarnya hanya tinggal retorik, kerana kaum Cina dan India (dan juga negara China dan Amerika Syarikat) yang menguasai ekonomi Malaysia.

Akan tetapi, sejak saya dan isteri mula berjinak dengan dunia perniagaan, dan kami mencampuri satu dunia keusahawanan Melayu, saya mula nampak masa depan Melayu (dan Islam) yang sangat cerah. Di dalam dunia baru ini, suatu yang sangat saya banggakan adalah, menularnya mentaliti kelimpahan (Mentality of Abundance - mengikut Google Translate) dikalangan bangsa Melayu elite ini. Di dalam dunia Melayu baru ini, tiada hasad dengki antara mereka. Seorang usahawan dengan mudah memberi bantuan dan nasihat kepada usahawan-usahawan lain yang berniaga barangan yang sama. Mereka tidak lokek berkongsi pengalaman untuk memastikan kesilapan mereka tidak diulangi oleh mereka yang baru menceburi alam perniagaan. Didalam dunia ini, ditekankan mentera "the more you give, the more you get back", dan sentiasa mengingatkan kita untuk bersyukur untuk setiap perkara yang berlaku, baik atau buruk.

Didalam dunia ini, saya dan isteri berkenalan dengan jutawan-jutawan yang berumur semuda 23 tahun dan mereka yang "kurang upaya". Dan mereka tidak sombong atau bongkak atau berlagak. Kalau berjumpa dimana-mana kita tak sangka mereka ini jutawan sehinggalah mereka mengucapkan selamat tinggal dan memasuki kereta Mercedes S400 mereka. Dan, kita tahu, kekayaan mereka bukan dari kontrak kerajaan. Mereka bukan saudara mara dengan mana-mana ahli politik. Bukan ahli UMNO, Bukan penyokong kerajaan. Mereka bekerja keras, penuh motivasi, dedikasi dan penuh "passion" atas apa yang mereka lakukan.

"Passion"  bila saya guna google translate, jawapannya passion juga. Ini adalah sesuatu yang tiada di dalam perbendaharaan kata Melayu.

Kita juga tidak mendengar mereka ini merungut, barang naik, minyak naik, duit turun.... Walaupun mereka ada pendapat dan pandangan politik, mereka lebih fokus kepada perniagaan dan mewujudkan kemewahan di kalangan orang Melayu Islam.

Mungkin ramai orang tidak suka kepada Dr(?) Azizan Osman.... saya pun sama. Tapi, ilmu yang ada dalam kepalanya adalah ilmu yang patut disebarkan dikalangan orang Melayu. Ilmu ini lebih berkesan dari Dasar Ekonomi Baru (lama atau baru) yang lebih memastikan orang Melayu dapat makan ikan yang dijala oleh kaum Cina. Tetapi, ilmu ini mengajar kita cara menangkap ikan, dan sikap-sikap yang patut ada dikalangan penangkap-penangkap ikan supaya tiada antara kita yang kecewa bila ada yang mendapat tangkapan kurang dari yang lain.

Kaum Cina, khususnya, telah ada ilmu ini berabad lamanya. Kita tahu betapa kaum Cina saling membantu satu sama lain dalam bidang perniagaan. Mereka melihat pertandingan dalam perniagaan adalah sesuatu yang sihat dan sentiasa berusaha untuk membesarkan kek supaya semua boleh makan, berbanding berebut-rebut untuk mengambil "hak" seketul cupcake.

Berubahan paradigma inilah yang saya lihat ada pada lingkungan usahawan Melayu yang saya dan isteri kini menjadi sebahagian darinya. Saya gembira dan terharu, bila mereka sanggup sahaja berkongsi ilmu, walaupun isteri saya menalipon atau berwhatsapp sehingga tengah malam.

Insya' Allah.... ada harapan untuk orang Melayu nampaknya. Alhamdulillah....

Thursday, December 1, 2016

AKU oleh Chairil Anwar

Chairil Anwar: July 1922 - April 1949

Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang 'kan merayu
Tidak juga kau

Tak perlu sedu sedan itu

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang

Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari

Hingga hilang pedih perih

Dan aku akan lebih tidak peduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi!

Tuesday, November 3, 2015

Gelotophobia

Pada suatu masa, pernah saya terlalu takut akan dimalukan, atau ditertawakan. Hari ini, setelah melewati umur setengah abad, saya baru faham betapa rasa takut itu sebenarnya bisikkan ego yang begitu kuat menguasai hati dan minda saya. Saya tidak tahu dari mana asal usulnya ketakutan ini. Dari 'gene' Abah dan Mak saya? Tak mungkin. Mungkin dari peristiwa-peristiwa yang saya alami semasa membesar.

Walauapapun, peristiwa-peristiwa yang kini sedang berlaku tidak memberi saya banyak pilihan melainkan mengambil risiko akan dimalukan atau ditertawakan.

Apabila isteri saya bertekad hendak melepaskan kerjayanya disebuah bank terkemuka di Malaysia (skema bunyinya), kami membuat keputusan bahawa dia harus:

       a) Ada projek atau sesuatu yang perlu dibuat supaya tidak terkena kejutan budaya dari wanita berkerjaya kepada wanita surirumah.
       b) Ada pendapatan alternatif untuk mengekalkan gayahidup masakini. Ini sebab saya tidak begitu rela melepaskan Astro dan Unifi dirumah serta Maxis di tempat-tempat lain.

Maka dengan itu, mahu tidak mahu, kami terpaksa mencari sesuatu yang hendak dijual, untuk memenuhi dua syarat diatas.

Isteri saya nampaknya macam itik masuk ke kolam apabila kami memulakan menjual pelbagai jenis telekung dan tudung, yang kemudiannya, ditambah dengan belaus (blouse), dan terkini kain sulam yang diimport dari sebuah negara jiran terkemuka (maintain skema). Mungkin, darah dan semangat Cina Singapore dia kini mula terserlah.

Masalahnya, saya sedar betapa saya seorang yang gagal dalam bidang jual menjual. Pernah dulu saya berhenti kerja dari tahun 2002 hingga 2003 konon-kononnya hendak berniaga jual insuran dan unit trust serta konsultansi untuk SME membina sistem perakaunan. Walaupun pada mulanya sangat lumayan, tetapi, bila kontek saya yang sedia ada telah semua habis digunakan, saya tidak pandai mencari pasaran baru.... sebab saya terlalu malu. Kemaluan terlalu besar mungkin.

Tapi, guru kapitalis saya, En. Robert Kyosaki selalu mengingatkan bahawa, kita akan rasa tidak selesa bila kita cuba mengubah nasib kita. Kalau kita rasa selesa, itu bermakna kita tidak berubah.

Pagi ini, saya telah membawa beberapa pasang kain sulam yang di pesan ke pejabat. Saya rasa kurang selesa membawa beg-beg penuh dengan stok kain sulam dan cuba menyeludup beg-beg tersebut ketika tiada orang disekeliling. Maka saya keluar lebih awal dari biasa, dengan harapan saya sampai ke pejabat sebelum kebanyakan orang lain. Sampai sahaja di basement parking, apabila melihat tiada orang, saya dengan cepat keluar dari kereta, ambil beg-beg sarat dengan kain sulam dan berlari anak pergi ke lif. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, saya masuk dan berdoa tidak ada orangmasuk lif dari basement ke tingkat 3. Malangnya, lif terhenti di tingkat "G", dan masuklah salah seorang pegawai atasan. Saya tersipu-sipu dan menyorokkan beg-beg tersebut dibelakang kaki saya.

"Apa tu?" tanya kawan sekerja saya itu.

"Err... kain..." saya jawab.

"Wah... ada business..." katanya tersenyum.

"Ia lah, tolong orang rumah. Letih lah juga kena tolong bawak stok ni," jawab saya, terasa malu dan risau dia akan tertawakan dan membuat kenyataan-kenyataan yang membuat saya tersipu.

"Takpe... janji masyuuk!" dia tersenyum sambil keluar lif.

Setelah saya keluar lif, dan meletakan beg-beg tersebut di bawah meja, saya turun semula untuk bersarapan. Apabila saya naik semula, setiausaha kepada pegawai tadi menunggu dan bertanya,"Ada kain sulam, En. Sham?"

Takde apa nak dimalukan. Sedikit tidak selesa, tapi kepuasannya.... tidak terkira.

Saya harap saya tak akan rasa selesa lagi... kerana itu sahaja yang akan mendorong saya untuk berubah untuk memperbaiki keadaan.

Allah berfirman:
Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. (Ayat 5 - 6: Al-Insyirah)

Amin Ya Rabbal Alamin.....

Tuesday, September 1, 2015

Emansipasi Melayu

Saya faham perasaan kaum Cina Malaysia.


Kaum Cina tentunya rasa kecewa dan "frust" ("frust" juga bererti "kecewa" dalam bahasa Melayu), apabila mereka memikirkan betapa Tanah Bertuah ini terbazir dibawah pemerintahan orang Melayu. Dan, apabila kita menyebutnya sebagai "Tanah Bertuah", itu bukan lah sekadar satu metafora. Kedudukan Tanah Melayu yang menanjung dari benua Asia terlindung dari badai lautan luas dari semua arah mata angin. Sekali sekala terkena ribut dan banjir besar, tetapi di negara-negara jiran, bencana berlaku setiap tahun. Di dalam perut Tanah Melayu ada berbagai galian berharga, timah, emas, boksit, besi, minyak, gas dan sebagainya, dan tanah itu sendiri sangat subur sehingga dicampakkan sahaja apa benih pun, Insya-Allah, akan tumbuh. Lihat sahaja saujana mata memandang, ladang-ladang getah, kelapa sawit, sawah dan bendang, pepohon buah-buahan dan hutan belantara yang masih melitupi sebahagian besar Tanah Bertuah ini. Tanah Bertuah.


Setelah 58 tahun memerintah Tanah Melayu, orang melayu sendiri tidak banyak membuat perubahan dan kemajuan melainkan dengan bantuan orang Cina dan India. Malahan, nenek moyang mereka dibawa ke Tanah Bertuah ini oleh British kerana orang Melayu sendiri tidak boleh diharap untuk bekerja keras, menebas dan meneroka ladang dan mendulang bijih timah. Dalam masa itu, orang Melayu tidak mahu menjadi hamba penjajah untuk menjadi kuli membongkar hasil bumi bertuah ini. Ini Tanah Melayu, tanah kami.... kamilah tuan disini.

Dan ketuanan inilah yang terus dilaungkan sehingga sekarang.

Mungkin terlalu ekstrim kalau saya katakan orang Melayu senasib dengan orang Arab di Palestine. Tentu sekali nasib kita tidak seteruk mereka yang memperjudikan nyawa walau hanya untuk keluar ke pasar, tetapi, secara konsepnya, mereka menumpang di tanah air mereka sendiri. Mereka begitu gembira apabila Israel bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata, walaupun tiada apa-apa pun yang mereka raih dari persetujuan itu, melainkan keamanan yang sementara. Mereka tidak diberi barang seinci pun lebih dari penempatan mereka sedia ada.

Di Tanah Bertuah ini, ada kumpulan yang katanya memperjuangkan Ketuanan Melayu. Mendabik dada, terpekik-pekik memaki kaum Cina (terutamanya) dan kaum India; memanggil mereka "pendatang" dan "orang asing". OKlah. Kita hantar semua orang Cina balik ke China dan orang India balik ke India. Apa yang tinggal? Sepanjang tahun, pekan dan bandar akan sama macam cuti tahun baru Cina.

Lagipun, semua kaum Cina dan India yang ada disini hari ini, lahir disini. Entah-entah ada yang tak pernah sampai ke negara nenek moyang mereka.

Entah-entah ada antara mereka yang memekik tentang ketuanan Melayu itu, bapa mereka adalah generasi pertama dari Indonesia.


Berbalik kepada kekecewaan dan frustrasi kaum Cina, bayangkan potensi Tanah Melayu jika dibawah pemerintahan kaum Cina. Betapa Tanah Melayu (mungkin akan bertukar nama) akan menjadi sebuah negara maju. Apa taknya, sebuah pulau kecil yang tiada sumber asli seperti Singapura boleh dijadikan negara maju yang disegani dunia, apatah lagi kalau Tanah Bertuah yang kaya raya dengan sumber galian dan tanaman.

Persoalannya, apa beza kita dengan Singapura? Kita ada 2 kelebihan yang Singapura tiada:

1) Pembangkang yang kuat
2) Rasuah yang kuat

Pembangkang yang kuat (tak kira lah PR ke BN ke) akan cuba mengganggu segala apa yang kerajaan pemerintah hendak lakukan. Semua tak betul, tarik subsidi salah, naik tol salah, GST salah, BRIM salah, Darul Ehsan Investment Group salah, simpan duit salah, belanja duit, Hudud salah, tak Hudud salah.

Di Singapura, banyak cakap, masuk lokap... atau jadi bangkrap.

Tapi, di Singapura (secara persepsinya) tiada rasuah. Kerajaan Singapura makan duit rakyat kiri dan kanan. Setiap benda kena bayar, kalau tak bayar kena saman. Pokok pangkal bayar. Tapi, rakyat dapat segala yang terbaik. Pengangkutan awam terbaik, khidmat pelanggan terbaik, infrastruktur terbaik, pembelajaran terbaik. Kenapa? Sebab, tiada rasuah. Kerajaan ambil duit rakyat, dan menyalurkan semula wang tersebut kepada rakyat. Tiada ketirisan. Tiada kebocoran (secara persepsinya).

Kita boleh jadi lebih dari Singapura. Orang Melayu tak payah nak terpekik terlolong mengenai Ketuanan Melayu yang tidak wujud lagi. Kita mesti bersatu. Bersatu atas kebenaran. Cari pemimpin yang ikhlas hendak menaikkan taraf orang Melayu, yang berjuang tanpa mengharap balasan dan ganjaran. Yang siang malam fikirkan mengenai nasib orang Melayu.

Semua menteri dan politikus Melayu hari ini hanya mementingkan tembolok sendiri. Mereka takut hilang status YB. Sebab itulah cara nak cari makan. Nak kaya, masuk politik... Yang tengah siasat kes rasuah, boleh melompat terus tinggalkan siasatan, bila dapat tawaran jadi menteri.... 


Nak salahkan siapa? Insan yang korup (corrupt) terpilih jadi pemerintah...... Kepimpinan melalui teladan.

Frust ke tidak kaum Cina... Lu sendili fikirlaaa.

Wednesday, December 17, 2014

PLKN dan MRI

Minggu ini rasanya terlalu panjang. Rasanya lama sudah hari minggu yang lalu bila saya menghantar anak perempuan saya ke Kem PLKN Paya Indah di Kuala Langat. Memang tak jauh, bak kata semua yang saya maklumkan mengenai kesedihan dan kerinduan saya pada anak ketiga saya ini. Tetapi, pada saya ia terlalu jauh, dan masa berlalu terlalu perlahan.

Hari ini, setelah mengalami "slip disc" di bahagian tongking saya, saya telah ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Doktor merasakan tiada apa perlu dibuat kecuali menanggung kesakitan yang akan pergi lambat laun. Tetapi, doktor sarankan saya membuat imbasan MRI untuk melihat tulang belakang saya itu.

Ini bukan pertama kali saya melalui proses MRI, malah ini kali ketiga. Kali pertama dan kedua saya lalui dengan mudah dan saya tidak faham mengapa orang lain merasa takut apabila disorong masuk kedalam terowong kecil mesin MRI itu. Biasa saja pada saya.

Tetapi, kali ini, setelah berbaring diatas pangkin, pada ketika saya mula dimasukkan kedalan ruang kecil itu, hati saya berdebar, saya hampir panik dan hampir sahaja menekan butang untuk memanggil jururawat bertugas supaya keluarkan saya. Tetapi, saya cekalkan hati, bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil dan beristighfar. Kalau kali pertama dan kedua dahulu mata saya celik melihat persekitaran ruang sempit, kali ini saya langsung tidak berani membuka mata. Dalam fikiran saya bayangkan ruang-ruang luas, padang yang hijau atau tepian pantai yang nyaman.

Mungkin sebab saya sudah tua. Dan membayangkan kemasukan saya ke dalam mesin itu, tidak jauh beza dengan disorong masuk ke liang lahad..... Allahuakbar, betapa saya masih belum sedia untuk itu.
Tetapi, apa yang menyayat hati saya ialah, betapa sedihnya kalau benarlah ini tempat persemadian saya yang terakhir, saya tidak dapat bertemu anak saya nun jauh di Kuala Langat itu.

Tambahan lagi, dalam masa dia di situ, tiada cara untuk kami berkomunikasi... tak tau apa berita... 

Saya sentiasa risau. Bila tiada berita dari anak-anak, saya akan terfikir yang buruk. Setakat ini, Alhamdulillah, syukur semua selamat.

Dan saya tahu, InsyaAllah, dia pun dalam keadaan baik.

Cuma dimalam-malam yang tidur tidak kunjung tiba.... rindu saya kepada Nurizzati meluap, hingga saya rasa ingin sahaja saya ke Paya Indah esok untuk bertemu dia buat seketika....

Kepada Allah sahaja saya berserah.


Wednesday, August 28, 2013

Syarat utk Berpoligami

Entah mengapa, kebelakangan ini saya banyak sekali terdengar cerita poligami.

Di meja sarapan pagi, saya dikejutkan dengan cerita seorang sahabat yang pendiam telah menambah "cawangan".

Sedang saya cuba mengarang sebuah emel rasmi, seorang staff (wanita) datang menceritakan masalahnya yang kini terpaksa menerima hakikat yang dia telah bermadu.

Petang itu, pengurus sumber manusia, telah menceritakan betapa bengangnya dia bila seorang staf telah tak hadir untuk kerja pada ketika keadaan sangat sibuk dengan memberi alasan, "Saya beraya di rumah bini muda tahun ni......"

Saya pernah ditanya apakah saya tidak ingin tambah satu lagi jika diberi peluang.... Dan, jawapan saya ialah, "impian ada, harapan tiada......" 

Sesungguhnya, saya percaya jika keadaan (isteri) mengizinkan dan ada wanita yang sanggup menyerahkan dirinya, setiap lelaki akan "membina sebuah lagi masjid".

Mungkin saya akan mengundang komen negatif dari beberapa pihak, tetapi pada hanya alim ulama' sahaja yang layak berpoligami. Saya menyarankan bagi setiap lelaki yang hendak berpoligami hendaklah sekurang-kurangnya seorang Tahfiz. Kalau setakat hafal surah lazim sahaja, jadi imam kepada seorang isteri dan anak-anak pun cukuplah.

Itu syarat yang boleh dibuat oleh Jabatan Agama. Tapi, ciri yang patut ada pada bakal pempoligami adalah rajin melayan kerenah wanita. Wanita (saya baru belajar dari mendengar ceramah Ustaz Azhar Idrus) adalah makhluk Allah yang sangat halus dan cantik. Yang harus dibelai. Setiap wanita (mungkin tidak semua) harus ada label pada mereka "FRAGILE!! HANDLE WITH CARE!!"

Oleh yang demikian, bagi saya sendiri, bukan tak ingin nak berbini banyak, tapi tak mampu. Secara zahir mungkin larat, tetapi secara batin saya gagal.

Dalam definisi saya (dan juga Ustaz Kazim Elias menyokong pandangan ini) sex adalah keperluan zahir. Tidak perlu kemahiran yang tinggi untuk melakukannya, malah ia begitu "natural", binatang pun boleh buat. Yang tak boleh buat pun ada berbagai "pertolongan" dipasaran sekarang ini. (Tengoklah iklannya di tiang-tiang lampu trafik disekitar bandaraya kita).

Keperluan batin adalah lebih kepada emosi. Saya seorang yang malas untuk melayan emosi orang lain. Tanyalah isteri tersayang saya, betapa dia derita berkahwin dengan saya, bila dia merajuk, saya tak reti nak pujuk.

Wa ima, saya tidak layak untuk berbini lebih dari satu. Ada perempuan sanggup mempersuamikan saya pun, saya kena buat banyak sujud syukur. Lagipun, saya tak (belum) jumpa wanita yang mempunyai ciri-ciri yang saya cari dalam seorang isteri... kecuali pada isteri saya sekarang ini...

Atau isteri saya telah pun "give-up" untuk merubah saya dan menerima sahaja saya sekadar ada.

Untuk itu, saya terhutang budi dan nyawa kepadanya.

Maka, kepada Puan Sapiah Mat Pis, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih saya kepada awak.... dan.... saya sayang awak..... (walaupun saya tak reti nak menunjuknya...).

Wallahu'alam....

Tuesday, May 28, 2013

Kesiangan

Kesiangan oleh Pungguk Merindu

Dan aku terlihat dia
Terkesima melihat cahaya pagi
Bila masanya waktu berlalu?
Mengapa kawan itu tidak mengejutku?
Dan kini kehidupan telah meninggalkan aku

Dalam remang-remang polusi pagi
Dia masih lagi berdiri di seberang ini
Tidak berani menyeberang jalan
Bertali arus dengan keinderaan-keinderaannya
Mesin-mesin tiada berperasaan

Aku lihat matanya dikalih
Dari mata-mata yang menghukum
Sedang dia berdiri di simpang
Masih memakai dosa-dosa semalam
Pastinya ini bukan pakaian
Untuk seorang pekerja pejabat....

Mentari semakin meninggi
Suhu dan renda-renda baju
Mula menggigit kulit
Panas sampai ke tulang
Dan dia hilang ditelan sebuah teksi usang....

(Di ilhamkan oleh pemerhatian penulis ke atas seorang pelacur tua yang sedang hendak melintas jalan diwaktu puncak di satu tempat di Jalan Ipoh.)